PUSAT LATIHAN RED GIANTS

///PUSAT LATIHAN RED GIANTS

PUSAT LATIHAN RED GIANTS

Syazwan Msar | mohdsyazwan @ hmetro.com.my

Pusat Latihan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) terletak di tengah bandaraya Shah Alam iaitu di Padang Latihan SUK, Seksyen 5, Shah Alam, antara penanda aras terbaharu bola sepak negeri terbabit untuk menjadi yang terbaik dan berdaya saing pada masa akan datang.

Berkeluasan 37,161 meter persegi (400,000 kaki persegi) diharap dapat menaikkan lagi semangat pemain, barisan kejurulatihan serta staf dalam memberikan yang terbaik untuk persatuan, sekali gus mengembalikan zaman kegemilangan pasukan Merah Kuning di Malaysia.

Jika disoroti kembali pusat latihan FAS sebelum ini, mereka beroperasi di pejabat usang di Kelana Jaya dan hanya mempunyai pusat latihan serba kekurangan. Pusat latihan baharu itu mempunyai kelengkapan yang serba lengkap merangkumi padang latihan, gimnasium, kawasan rawatan fisioterapi, dan kompleks pejabat. Malah turut mempunyai pusat rawatan fisioterapi bagi memberi keselesaan dan kemudahan kepada pemain untuk menjalani pemulihan dengan lebih sistematik.

Fasiliti itu dikelolakan Vizione Holdings Berhad, salah satu rakan strategic FAS yang menjadi penggerak utama dalam pembinaan kemudahan terbabit. Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, pihaknya bersyukur impian FAS untuk mempunyai fasiliti lebih baik dan pusat pentadbiran persatuan lebih mampan Berjaya direalisasikan.

“RM1.5 juta peruntukan dikeluarkan untuk membina prasarana berkenaan dan ia akan meningkatkan lagi taraf bola sepak negeri ini.

“Komitmen inilah yang bakal membuatkan pasukan lebih bersemangat memburu kemenangan di atas padang. Kami berharap melalui kerjasama ini, maka lebih banyak syarikat akan tampil sebagai rakan penaja kepada FAS,” katanya.

Mengikut rekod sebelum ini Johor Darul Ta’zim (JDT) turut mempunyai pusat latihan serba canggih khusus kepada latihan dan pemulihan pemain pasukan terbabit.

2019-08-22T16:14:55+08:00